Traffic Exchange

Jangan Berhenti Kerja Dulu

Jangan berhenti kerja lagi… Sabar dulu… Bukan semudah itu saya berhenti kerja. Buat bisnes sikit, income baru cecah 4 angka, terus hantar surat resign. Dah 10 tahun saya dalam bisnes, saya perhati majoriti mereka yang terlalu gopoh berhenti kerja akhirnya terpaksa cari kerja semula! Ya betul, terpaksa cari kerja lain untuk survive. Bukan sahaja bisnes tak maju, tapi nanti rasa rendah diri dengan kawan-kawan.


Kalau nak ikutkan hati, dah 5 tahun lepas lagi saya tak sabar berhenti kerja dan buat bisnes full-time. Kononnya bisnes akan lebih cepat berkembang bila full-time. Tapi realitinya, kebanyakkan orang bisnesnya tak berkembang hanya sebab dia berhenti kerja. Kalau dibuat statistik, saya yakin lebih ramai yang bisnesnya menurun lepas berhenti kerja berbanding mereka yang maju dalam bisnes. Tapi itulah realitinya.


Jangan Tiru Tanpa Faham


Saya tengok ada kawan-kawan rapat nak ikut jejak langkah saya. Bila mereka tahu saya dah berhenti kerja dan fokus bisnes sepenuh masa, ada yang mula buka mata luas-luas tentang bisnes (walaupun sebelum ni mereka pandang bisnes sebelah mata). Masing-masing mencari jalan bisnes apa yang mereka nak buat. Bahkan ada follower blog berhenti kerja, lepas tu datang jumpa saya tanya, macam mana dia nak buat bisnes?! Kononnya dapat inspirasi dari artikel “Akhirnya Saya Berhenti Kerja!”.

Mohon maaf. Tak semudah tu saya berhenti kerja. Saya cari pengalaman bisnes 10 tahun, iaitu sejak 2003 lagi. Saya bukan berniaga setahun dua. Saya ambil masa lama untuk belajar, praktis, belajar, praktis, belajar, praktis, dan akhirnya, bisnes dah serasi dengan jiwa saya. Saya dah buat banyak kesilapan-kesilapan bodoh dalam bisnes, dan saya belajar dari kesilapan tersebut. Tapi itulah pengalaman menjadikan saya lebih pandai. Pendek kata kalau jatuh lagi sekali dalam bisnes (nauzubillahi min zaalik), kami suami isteri tahu untuk bangun semula, insyaAllah. Ia bukan soal berapa besar pendapatan kami, tapi yang lebih penting, macam mana kami boleh ‘control’ bisnes kami. Ia bukan soal “luck”, tapi ia soal “work”.


Hati-hati Nasihat ‘Upline’


Kalau jadi pemancing, bukan berapa banyak ikan yang kita dapat tu yang penting. Tapi yang lebih penting kita tahu bila waktu yang bagus untuk keluar memancing, di mana lubuk-lubuk ikan yang banyak, dan apa umpan terbaik untuk setiap jenis ikan. Kalau lubuk tu dah kering, kita tahu cari lubuk lain. Bukan sebab kita ikut orang datang ke lubuk ikan, dapat ikan yang banyak, terus kita bersedap hati untuk katakan, “aku pemancing yang berjaya”! Dah tak perlu bekerja…

Hati-hati bila ikut nasihat ‘upline’. Banyak ‘upline’ yang dengan mudah bagi nasihat ‘downline’ berhenti kerja, kononnya dengan cara itu, bisnes akan berkembang. Downline akan terpaksa bekerja lebih keras. Samada “you DO or DIE”! Perkara ni berlaku kepada kenalan terdekat kami. Kerja kerajaan elok-elok, ambil personal loan buat bisnes, ‘naik pangkat’ dalam bisnes, terus ambil keputusan berhenti kerja! 6 bulan lepas tu, loan tak boleh bayar, bisnes lingkup, dan terpaksa cari kerja lain.


Nasihat Guru Saya…


Guru bisnes saya tak pernah support hasrat saya untuk berhenti kerja. Apa yang beliau mahu, bila saya serahkan surat resign, saya telah pun jadi ‘seekor helang’ yang terbang tinggi dan bebas mencari rezeki walaupun hidup di kawasan pergunungan. Bukan lagi jadi ayam daging yang terpaksa menunggu untuk diberi makan. Ia bukan soal berapa besar pendapatan sewaktu saya resign, tapi ia soal kualiti diri dan nilai sebenar diri saya.


Walaupun beliau memang dah 30 tahun financially free (tak perlu bekerja), tapi bagi beliau, kerja makan gaji tu akan membentuk disiplin kita dengan bisnes. Waktu menjalankan bisnes yang sangat terhad, ia mendisiplinkan kita tentang pengurusan masa dan belajar untuk bekerja keras. Jadi walaupun dah dekat setahun saya berhenti kerja, saya masih bekerja keras. Saya tak pernah duduk di rumah hanya dengan tidur ataupun tengok TV dengan alasan ‘boring’. Saya masih sibuk mengikut jadual saya sendiri dan saya suka kehidupan yang sibuk dengan perkara bermanfaat untuk masa depan kami. Alhamdulillah, kejayaan demi kejayaan yang saya rasai dalam bisnes lepas berhenti kerja.


Formula Bisnes Yang Kukuh


Yang kedua, kita kena tahu ukur kekukuhan bisnes kita. Income yang banyak hari ini, bukan bermakna bisnes dah kukuh. Guru saya berikan formula “volume + structure = profit”. “Volume” maksudnya jumlah jualan. Berapa banyak jumlah jualan kita setiap bulan. Katakanlah jumlah jualan kita RM300,000 sebulan, ia bukan bermaksud bisnes kita dah kukuh. Persoalan lebih penting, RM300,000 tu datang dari ‘channel’ mana?


Jadi kita kena lihat pula “structure” bisnes. Kalau ia datang dari 100 pembeli, itu bermaksud bisnes kita lebih kukuh berbanding hanya 3 pembeli yang beli RM100,000 seorang. Kalau datang dari 10 network bisnes yang kita bina, ia lebih kukuh berbanding datang daripada jualan peribadi kita sendiri. Itu cara menilai kekukuhan bisnes.


Salesman atau Business Owner?


Yang ketiga, kita mesti tahu, adakah bisnes kita masih tahap “salesman” atau tahap “bisnes owner”. Salesman kena cari sales tiap-tiap bulan. Tak keluar cari sales, income tak datang. Tapi kalau bisnes owner, bisnes mereka dah jadi “harta” yang boleh jana pendapatan tiap-tiap bulan tanpa bersusah-susah cari sales. Kalau jadi ejen bebas (kepada syarikat lain) macam saya, pendek kata, kita dah tak perlu keluar rumah cari sales, tapi orang datang cari kita untuk membeli. Kita dah ada reputasi, dan kita dah ada “nama”.


Alhamdulillah, boleh dikatakan 90% pendapatan saya terima hari ni ialah pendapatan yang saya tak perlu pun keluar rumah. Saya bukan lagi salesman, tapi bisnes telahpun jadi harta yang menjana pendapatan yang lebih baik berbanding saya terus bekerja lagi 10 tahun.


Persiapan Saya Sebelum Berhenti Kerja


Akhir sekali tentang persiapan lain. Sebenarnya banyak lagi yang perlu dipersiapkan sebelum berhenti kerja. Kalau orang lain berhenti kerja, at least mereka masih ada suami atau isteri yang masih bekerja. Kalau bisnes tak maju, gaji suami atau gaji isteri masih boleh jadi tali hayat terakhir. Tapi saya tak begitu. Waktu saya serahkan surat letak jawatan, saya menanggung isteri yang memang suri rumah sepenuh masa, 6 anak yang masih kecil dan seorang anak yang bakal lahir lagi dua bulan. Itu satu keputusan yang serius dan saya telahpun buat persiapan rapi sebelum serahkan surat letak jawatan.


Persiapan tu termasuklah persiapan kewangan, persiapan ilmu, persefahaman suami isteri dan sokongan keluarga, cover ‘insurance’ yang cukup, dan yang paling penting, persiapan mentaliti untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dalam bisnes! Kalau sahabat senang-senang hantar surat resign yang kononnya ikut langkah saya, saya rasa mereka akan tarik balik surat tersebut kalau mereka tahu bagaimana persiapan saya sebelum berhenti kerja… (“,)


Jadi saya nasihatkan, sabar dulu. Jangan berhenti kerja lagi. Buat persiapan rapi. Biarlah bila kita berhenti, kita dicemburui kawan-kawan lama sebab kita dah tak perlu lagi bekerja sepanjang hayat. Kalau tak dicemburui pun, at least kita bukan jadi bahan ejekan sinis sebab terpaksa kembali berkerja…

Wallahu a’lam.



KREDIT : http://www.mohdzulkifli.com

Share this

0 Comment to "Jangan Berhenti Kerja Dulu"

Post a Comment

close
*** ***
Traffic Exchange