Traffic Exchange

Antara Muhaddith Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Yang Masih Hidup Di Malaysia


Antara Muhaddith Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Yang Masih Hidup Di Malaysia

Al-Muhaddith Sheikh Haji Wan 'Izzuddin bin Sheikh Haji Wan Ibrahim hafizahullah Ta'ala

Nama penuh beliau ialah Haji Wan Izzuddin bin Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Qader bin Wan Mustafa. Dikenali dengan nama Tuan Guru Haji Wan Izzuddin atau Pak Njang. Beliau dilahirkan pada tahun 1944M. Anak ketujuh daripada 11 orang adik beradik.

Ayahnya, Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Qader atau dikenali sebagai Pak Chu Him Gajah Mati (1894 – w. 1968) adalah seorang tokoh ulama pondok terkenal di Kedah suatu masa dulu. Ibunya, Hajjah Zainab bin Haji Ismail bin Mustafa, ialah anak kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa atau popular sebagai Tuan Guru Haji Che Dol Gajah Mati. Datuk sebelah ibunya ini ialah ulama tersohor Kedah yang mengasaskan Pondok Gajah Mati. Manakala, datuk di sebelah ayahnya pula, Haji Wan Abdul Qader bin Wan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Tok Bendang Daya (w. 1312H/1895M) ialah tokoh ulama Patani yang terkenal pada zamannya.

Sementara itu, bapa saudara beliau di pihak ayahnya iaitu Sheikh Wan Ismail bin Haji Wan Abdul Qader al-Fathani atau terkenal di kalangan ulama Melayu-Nusantara dan ulama Arab sebagai Sheikh Pak Da ‘Eil al-Fathani (w. 1965M) atau di Tanah Melayu terkenal sebagai Pak Da ‘Eil al-Fathani ini adalah seorang guru termasyhur yang mengajar di Masjidil Haram. Ringkas kata, susur galur keturunan Tuan Guru Haji Wan Izzuddin atau Pak Njang Izzuddin ini terdiri daripada tokoh-tokoh ulama terkenal, sama ada yang berbakti di Kedah, Patani dan Makkah.

Beliau sempat belajar kepada tokoh ulama dan muhaddith terkenal kelahiran India, Maulana Sheikh Zakaria al-Kandahlawi. Beliau juga belajar kitab Sullam Ulum al-Bihari kepada Sheikh Anzhor Syah bin Anwar Syah Kashmiri. Beliau berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah sunan sittah yang terkenal itu. [Direkodkan oleh Hafiz Fandani sebagaimana termaktub dalam catatan Ziarah Ulama Kedah]

Sanad beliau dalam disiplin ilmu hadith dinilai 'ali [tinggi', bahkan sukar hendak ditemui ulama Melayu-Nusantara seperti beliau yang sempat bermulazamah dengan muhaddith terkenal iaitu Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah Ta'ala. Siapa yang mengambil ijazah daripada beliau, bermakna, sanad orang itu hampir dengan Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah Ta'ala. - via Ustaz Hafiz Fandani

Share this

0 Comment to "Antara Muhaddith Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Yang Masih Hidup Di Malaysia"

Post a Comment

close
*** ***
Traffic Exchange